Hari ini telah masuk tanggal 21 Ramadhan 1429, bersamaan 21 September 2008. Tatkala aku menulis, petang tadi aku terimbau kenangan 2007, antara Ramadhan paling mencabar sepanjang hidupku sebagai hamba Allah.
Aku memulakan perniagaan sendiri menjual tudung, jubah dan batik sepenuh masa, meninggalkan karier aku sebagai pengembala kambing, seorang arkitek. Apa yang berlaku buat diriku, kuharap dapat dijadikan panduan serta pengajaran buat anak cucu serta rakan-rakan yang lain.
Ramadhan 2007 - Setelah aku ‘dibuang’ oleh ‘dia’ dari Terengganu, aku pulang ke kampung dengan perasaan bercampur baur, sedih, kecewa, bingung, sayu, pilu dan pelbagai lagi menghantui perasaanku. Pulang ke kampung sehelai sepinggang, meninggalkan segala harta sepencarian yang dikatakan 'hak dia' - kereta, apartment, Adam Bistro, dan Adam's Corner.Dengan berbekalkan semangat dan tekad supaya Adam Harith dapat ku bela, aku terjun mengharungi dunia perniagaan secara kecil-kecilan, memasuki Expo Ramadhan di Tanjung Emas, Muar. Tekadku, biarlah aku mampu keluar dari belenggu hutang, keluar dari kekecewaan hidup.
Sekurang-kurangnya aku bersyukur masih mempunyai semangat dan iman, masih sedar siapa diri aku, seorang hamba yang diuji dengan hanya secebis dugaan dunia. Perjalananku bukan setakat di atas dunia. Aku masih mempunyai tanggungjawab sebagai seorang hamba padaNya dan juga amanah sebagai bapa kepada Adam Harith.
Perjalanan berniaga sebenar tidak semudah yang disangka. Dunia perniagaan yang penuh dengan liku ranjaunya amat memeritkan bagi aku yang baru menceburkan diri. Hasil yang diperolehi tidak seperti yang diharapkan, hari demi hari, perniagaanku berjalan dengan amat perlahan, merangkak mendaki puncak. Persaingan yang wujud dari peniaga-peniaga besar mencabar kekuatan semangatku – peniaga yang boleh diibaratkan sebagai ikan bilis.
Walau bagaimanapun, aku tetap berpegang pada rukun iman ke-6, qada dan qadar, aku masih boleh menongkah arus. Setiap malam selepas berniaga, aku berkunjung ke Masjid Jami' Muar, solat Isyak, Tarawih serta hajat, memohon ketenangan dan keampunan. Kupanjatkan doa dengan dilinangi air mata, aku benar-benar sedih dan bingung. Aku hanya mampu menangis supaya diberikan ketenangan, dimurahkan rezeki, diberi panduan, serta tetapkan imanku. “Ya Allah, kalau benar aku banyak melakukan dosa, aku redha dengan ujianMu ini Ya Allah.”
5 hari menjelangnya Syawal, aku tidak henti-henti menangis setiap malam, teringatkan Adam Harith yang terpisah dariku. Otakku tidak dapat menerima hakikat bahawa aku akan beraya tanpa Adam dan isteri. Adam Harith juga tidak akan meraikan 1 Syawal bersama-sama bapanya sebagai satu keluarga. Hajatnya pada harijadi yang ke 5 tahun, ‘I wish a happy family’, nampaknya malap!
Alhamdulillah, hari ini, aku sudah mampu berdiri dan berjalan, walau pun masih bertatih dalam berniaga, sekurang-kurangnya aku makin stabil dalam berniaga dan juga dari segi emosi. Perniagaanku makin maju dan aku sendiri sudah mula ‘bernafas’ walau ada waktu dan ketika aku agak goyang dengan pendapatan yang turun naik. Tapi aku tetap redha dan syukur, sekurang-kurangnya aku masih lagi di kira bernasib baik. Sebab aku ada terdengar kisah orang lain yang menjadi gila ditinggalkan isteri atau kekasih. Ramai lagi umat manusia di dalam dunia yang lebih teruk nasib mereka. Setidak-tidaknya aku mampu member nafkah kepada Adam Harith serta membayar hutang-hutangku.
Semoga sisa-sisa ramadhan ini dapat kutempuh dengan lebih tenang dan tawakal. Syawal yang bakal menjelma kuharapkan sedikit sinar.
“Ya Allah, berikanlah aku ketenangan serta kebahagiaan dunia dan akhirat. Murahkan rezekiku, kuatkan imanku, tempatkan kami di dalam syurga serta jauhkan kami dari azab neraka.”
Buat bekas isteriku, aku halalkan makan minum kamu berdua. Aku halalkan apa sahaja dunia dan akhirat. Apa yang terjadi padaku, aku redha dengan ketentuanNya. Aku syukur diberi ujian (dan peringatan) tatkala aku lalai dalam menunaikan amanah serta tanggungjawab sebagai hamba. Buat Adam Harith, jangan lupa apa yang daddy pesan ketika berdoa. Buat semua pembaca, kuharap ambillah iktibar. Bukan niat aku nak memburukkan sesiapa, meluahkan perkara yang terbuku, itu sahaja. Namun apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya, jadikan iktibar, contoh serta tauladan.
Muhasabah diri - Firman Allah bermaksud: 'Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? '(al-Mukminun: 115)
Rosmansham Alias a.k.a. Samdaddycool
Muhasabah Trading.
21 Ramadhan 1429